ajar anak istilah sebenar Pedofilia

Ajar Anak Guna Istilah Sebenar Alat Sulit Elak Jadi Mangsa Pedofilia – Pakar Psikologi

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kegiatan penjenayah seks ke atas kanak-kanak yang sering dirujuk pedofilia semakin meningkat dan kejam di Malaysia. Kajian mendapati segolongan besar ibu bapa tidak mengetahui tentang gejala pedofilia.

Menerusi Sinar Harian, statistik yang dikeluarkan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman pada April 2019 menunjukkan jumlah kes jenayah seks kanak-kanak meningkat sebanyak 20.3 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagi mengelakkan kanak-kanak menjadi mangsa pedofilia, ibu bapa dan guru sepatutnya menggunakan perkataan atau istilah sebenar alat sulit menurut pakar psikologi Universiti Malaya, Prof. Datin Dr. Mariani Md. Nor.

Katanya, ibu bapa dan guru dinasihatkan agar tidak mengajar anak-anak menggunakan perkataan poen, bunga, burung dan sebagainya untuk menggantikan perkataan kemaluan lelaki dan wanita.

ajar anak istilah sebenar Pedofilia
Sumber: Mstar

“Perlu disebut kalau alat sulit perempuan namanya apa, tak boleh sebut poen. Kita kena sebut katakan vagina, penis. Ini nasihat saya sebagai pakar psikologi. Kita harus berterus terang.

“Kalau kita sebut poen, kalau pedofil pegang poen dia. Dia pergi mengadu, orang lain tidak faham maksud kanak-kanak tersebut yang telah menjadi mangsa pedofil,” jelas Dr. Mariani.

Tambahnya, ibu bapa dan guru juga perlu berterus terang kepada anak-anak mengenai pendidikan seksual bermula daripada tahap prasekolah lagi agar mereka tidak mudah menjadi mangsa pedofil.

Kanak-kanak juga perlu diberitahu sentuhan yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh orang lain terhadap mereka. Begitu juga dengan anggota mereka terutama di bahagian alat sulit, dada dan pipi tidak boleh disentuh oleh orang lain.

Malah beliau turut mengingatkan ibu bapa jangan sesekali memberi ciuman kepada anak-anak di bahagian bibir kerana anak-anak akan terpengaruh dengan perbuatan tersebut dan akan melakukannya dengan orang lain. Bahagian bibir juga ada rangsangan seksual jadi perlu dielakkan.

ajar anak istilah sebenar Pedofilia
Sumber: TheAsianParent

Justeru, ibu bapa tidak perlu segan mengajar anak tentang pendidikan seks agar mereka boleh mengenal pasti karakter pelaku pedofilia dan menjauhkan diri dari golongan itu jika mereka didekati.

Sumber: Utusan Online