Penyakit OCD 1

Jangan Mudah Label Diri Sebagai OCD, Ketahui Bezanya Dengan ‘Individu Tersusun’ – Pakar

OCD (Obsessive-Compulsive Disorder) atau juga dikenali sebagai Kecelaruan Obsesif Kompulsif merupakan penyakit mental yang menyebabkan pemikiran dan tindakan berulang yang tidak diingini.

Individu yang memiliki penyakit ini kebiasaannya mempunyai kepercayaan bahawa jika ‘tugasnya’ belum selesai akan ada perkara buruk yang berlaku sehingga menyebabkan perlakuan seperti membasuh tangan (menggosok dengan kuat) melebihi lima kali sehingga pada satu tahap tangan berwarna merah.

Sehingga kini, punca-punca OCD tidak dapat diketahui sepenuhnya, namun ada teori yang menunjuk kepada beberapa kecenderungan tertentu serta masalah pada neurotransmitter dan serotonin.

Penyakit OCD

Merawat OCD adalah sukar, tetapi ada sesetengah ubat yang boleh membantu individu OCD untuk mengawal perlakuan mereka seperti ubat kemurungan dan dadah yang mempengaruhi neurotransmitter serta menjalani terapi tingkah laku.

Ramai yang tersalah sangka antara ciri-ciri OCD dengan ‘perlakuan tersusun’ sehingga dengan ‘selambanya’ meletakkan label pada diri bahawa mereka ini juga penghidap OCD.

Tapi tahukah anda, selagi anda belum didiagnosis oleh ahli psikologi atau doktor psikiatris, anda tidak boleh menyatakan bahawa anda adalah penghidap penyakit ini walaupun secara serius atau pun bergurau?

Perlakuan anda yang tidak sensitif ini bakal memberikan kesan kepada mereka yang benar-benar menghidap OCD dengan diagnosis daripada pakar. Antaranya:

1. Aduan akan diremehkan.
2. Malu untuk mendapatkan sokongan.
3. Khuatir untuk mendapatkan rawatan.
4. Sikap teratur orang normal akan diremehkan.

Bagaimana sebenarnya mahu membezakan penghidap OCD ini dengan ‘orang normal yang teratur’? Lihat info grafik di bawah.

Penyakit OCD

Selepas ini, sekiranya ada yang menggelarkan diri mereka sebagai OCD perhatikan dahulu tingkah laku mereka. Adakah mereka suka melakukan perbuatan yang sama berulang-ulang kali atau cuma hanya suka berada dalam keadaan tersusun?

Ingat, sensitif dengan keadaan sekeliling sebelum meletakkan label pada diri.

Sumber: Dr Alizi Alias