A Dog’s Journey

Ulasan Filem: A Dog’s Journey

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Lakonan: Josh Gad, Dennis Quaid, Marg Helgenberger, Betty Gilpin, Kathryn Prescott dan Henry Lau

Arahan: Gail Mancuso

Adaptasi: A Dog’s Journey oleh W. Bruce Cameron

Hanya mereka yang punya haiwan peliharaan faham akan bagaimana sakitnya rasa kehilangan.

AMARAN: Sebelum menonton filem ini, anda dinasihatkan untuk sediakan tisu. Memang sedih!

A Dog’s Journey

Ramai yang tak tahu, filem A Dog’s Journey sebenarnya merupakan sekuel kepada filem A Dog’s Purpose pada tahun 2017. Untuk yang tidak pernah menonton filem A Dog’s Purpose jangan risau, anda memang boleh menghayati jalan cerita filem ini tanpa rasa ‘sesat’.

Diadaptasi daripada novel A Dog’s Journey pada 2012 oleh W. Bruce Cameron, filem ini memaparkan kisah seekor anjing, Bailey yang melalui proses reincarnation iaitu kehidupan semula selepas kematian dalam bentuk atau badan berbeza.

Masih menggunakan konsep yang sama seperti dalam filem A Dog Purpose, reincarnation Bailey pada kali ini ada matlamat dan tujuan yang berbeza. Jika A Dog’s Purpose berkisarkan mengenai Bailey yang mencari tujuan hidupnya dengan beberapa kali bertukar kehidupan dan pemilik sebelum bertemu dengan Ethan, kali ini Bailey hidup semula dengan misi melindungi Clarity June (CJ), seperti yang ‘diwasiatkan’ Ethan kepadanya sebelum dia mati.

A Dog’s Journey

Kehidupan pertama Bailey sebagai Molly agak mencabar, namun pertemuan dengan CJ sewaktu CJ kanak-kanak membuatkannya gembira kerana berjaya menunaikan hasrat Ethan. Bailey menjadi ‘sayap kanan’ kepada CJ, mengharungi kehidupan bersama CJ sehinggalah CJ remaja. Menjadi kekuatan kepada CJ dalam melalui fasa heartbreak disebabkan hubungan cinta remaja dan krisis bersama ibunya, Gloria, Bailey sekali lagi menemui kematian akibat kemalangan.

A Dog’s Journey

Kemudian, beliau hidup semula sebagai Big Dog dan kesempatan untuk bertemu dengan CJ hanya seketika sebelum menghadapi kematian. Merangka strategi baru untuk bertemu dengan CJ, kali ini Bailey hidup sebagai Max, seekor anjing berbaka kecil.

Berjaya bertemu dengan CJ, Bailey telah menyatukan kembali CJ dengan rakan baiknya sewaktu kecil, Trent. Dalam kehidupan kali ini, Bailey bersama CJ membantu menjaga Trent yang menghidap barah dan melihat bagaimana Trent membantu CJ mengatasi stage fright untuk melakukan persembahan di khalayak umum.

Babak tersebut disambung pula dengan babak CJ yang terpisah daripada Ethan dan isterinya, Hannah kembali bersatu dengan bantuan Trent dan Ethan yang masih mengenali Bailey walaupun kali ini Bailey hidup sebagai Max.

A Dog’s Journey 3

Walaupun perjalanan cerita agak mendatar, tidak bermakna filem ini membosankan. Menonton filem ini menyebabkan emosi anda seperti roller coster terutamanya jika anda ada atau pernah membela haiwan. Ada babak-babak yang bakal membuatkan anda menyeka air mata dan meremang bulu roma tanpa anda sendiri sedar. Tidak lupa juga unsur humor yang adakalanya membuatkan anda tersenyum senget sendiri.

Secara konklusinya, filem hasil arahan Gail Mancuso ini memang berbaloi untuk ditonton semua lapisan masyarakat. Ditambah pula dengan adanya suara komedi Josh Gad sebagai Bailey yang terkenal dengan watak Olaf dalam filem Frozen. Jika anda rasa Olaf adalah satu watak yang kelakar, bayangkan Olaf kini muncul sebagai suara seekor anjing.

Dengan tagline ‘sebilangan daripada hubungan persahabatan menjangkau jangka hayat’, A Dog’s Journey bukan sahaja bakal menjentik emosi anda, tapi juga mampu menimbulkan rasa kasih sayang kepada haiwan terutamanya yang anda pelihara.

A Dog’s Journey

Rating: 8.5/10

Bagi yang ingin menonton, apa kata anda tonton dulu trailer filem yang bakal hadir di pawagam 16 Mei ini pada pautan di bawah:

Selamat menonton!

 

 

Susah juga belakang tabir permainan video ini.

BALIK TABIR : Permainan Video

dan jangan lupa subscribe Youtube ODISI.