
Ulasan Filem: Shazam! (tanpa ‘spoiler’)
Filem: Shazam!
Lakonan: Zachary Levi, Asher Angel, Jack Dylan Grazer, Mark Strong, Djimon Hounsou
Arahan: David F. Sandberg
Plot [7.5]
Masih belum reda dengan ‘demam’ Super Saiyan Captain Marvel dari Marvel Cinematic Universe (MCU), muncul sebuah lagi filem adiwira. Ya! Tapi kali ini dari DC Extended Universe (DCEU) pula.

Pada suatu hari, Billy Batson, seorang anak yatim yang berhati mulia telah dikurniakan dengan kebijaksanaan [S]olomon, kekuatan [H]ercules, mempunyai stamina seperti [A]tlas dan kuasa umpama [Z]eus serta keberanian [A]chilles dan kepantasan [M]ercury. (Baca: S.H.A.Z.A.M!)
Billy yang hanya berumur 14 tahun turut bertukar menjadi dewasa dan perlu berhadapan dengan kuasa jahat yang ingin menghapuskannya. Plotnya cukup senang dengan tema dan moral yang paling mudah serta sentiasa perlu kita ingat iaitu: ‘Berbuat baiklah kepada anak-anak yatim’ (sila rujuk biodata Clark Kent, Bruce Wayne, Peter Parker, Tony Stark, Steve Rogers, Harry Potter, Upin & Ipin dan ramai lagi).

Tidak semua filem adiwira perlu menggunakan formula yang sama kerana latar belakang setiap watak adalah berbeza. Bukan semua filem adiwira perlukan mood gelap dan suram serta colour grading kebiru-biruan untuk nampak lebih serius. Inilah silapnya filem-filem adiwira sejak kebelakangan ini khususnya filem-filem DCEU. *semua pandang Zack Snyder*
Tidak perlu meniru Christopher Nolan dengan The Dark Knight Trilogy (2005-2012) nya. Atau mengejar klasifikasi ‘R’ hanya untuk membuat penonton teruja dengan aksi-aksi ganas seperti dalam Watchmen (2009) dan Logan (2017). Ataupun juga terlalu mengharapkan aksi-aksi ngeri seperti dalam siri Kick-Ass (2010-2013) dan lawak-lawak melampau dalam siri Deadpool (2016-2018).
Wonder Woman (2017) dan Aquaman (2018) bekerja keras untuk memperolehi kembali kepercayaan peminat DCEU. Namun, tanpa diduga kehadiran Shazam! sebenarnya yang lebih berperanan besar membawa ‘sinar baru’ kepada filem-filem DCEU walaupun agak mustahil untuk mengatasi MCU buat masa ini.
Buat pertama kali untuk jangka masa yang agak lama, wujudnya sebuah filem adiwira yang mempunyai plot yang simple serta tidak berat langsung. Tiada campur-aduk politik, tiada peperangan, rampasan kuasa, perebutan empayar serta pertembungan di antara planet mahupun galaksi. Hanya kuasa baik lawan kuasa jahat. Mudah.

Ya, betul. Filem ini banyak slapstick humour. Untuk filem yang memaparkan kanak-kanak sebagai pembawa watak adiwira, apa yang kita jangka? Filem-filem Stephen Chow pun sama. Sekurang-kurangnya Shazam! tidak menggunakan formula yang sama seperti trilogi Spider-Man (2002-2007) dari Sam Raimi. Ketiga-tiga filem ini memaparkan watak penjahat yang lahir akibat kesilapan eksperimen sains dan bagaimana Spider-Man terpaksa menyelamatkan Mary Jane pada tiap-tiap kali babak akhir. Ya! Tiap-tiap kali! Mary Jane!
Lakonan [8.0]
Zachary Levi yang berhijrah dari MCU tidak ada masalah untuk memegang watak utama filem ini. Bolehlah kini beliau dibariskan bersama Tom Hanks dalam Big (1988), Jamie Lee Curtis dalam Freaky Friday (2003) atau Jennifer Garner dalam 13 Going on 30 (2004). Asher Angel sebagai Billy Batson sekali imbas saling tak tumpah macam Arya Stark dalam Game of Thrones (2011-2019). Okay, tidak relevan.

Barisan pelakon kanak-kanak lain dalam filem ini banyak membantu terutama sekali Jack Dylan Grazer – ahli The Losers’ Club dalam It (2017). Semua watak kanak-kanak ini seronok ditonton. Sekadar info, Jerry (Cooper Andrews) dari siri The Walking Dead (2010- ) pun ada. Filem superhero dan sidekicknya yang hebat pasti tidak lengkap tanpa super villain yang turut setaraf dengannya kan? *batuk*Captain Marvel!*batuk*
Mark Strong tidak menghampakan sebagai Dr. Thaddeus Sivana, watak penjahat paling awesome sejak lakonannya sebagai bos Frank D’Amico dalam Kick-Ass (2010). Walaupun ada iras-iras musuh ketat Bond iaitu Blofeld, rasa gerun dan mendebarkan pasti dirasai setiap kali beliau dan Seven Deadly Sins muncul di skrin.

David F. Sandberg sebagai pengarah wajar diberi standing ovation untuk Shazam! Jika MCU boleh berbangga dengan Taika Waititi, DCEU ada David F. Sandberg! Walaupun hanya pernah menjadi pengarah 2 buah filem seram sebelum ini, beliau seharusnya diberi peluang mengarah lebih banyak lagi filem adiwira.
Teknik jump scare filem seram David berjaya mewujudkan suasana tegang dan cemas. Penonton sentiasa berada dalam keadaan suspen, namun pada masa yang sama tidak kering gusi. Turut diselitkan secara simbolik adegan yang ‘memberi mesej’ kepada Batman v Superman: Dawn of Justice (2016). Pertempuran Shazam dan Sivana pada babak akhir memang mengasyikkan!
Namun, bakat Benjamin Wallfisch sebagai komposer muzik perlu diasah lagi kerana skor dan muzik tema Shazam! agak kurang catchy. Untuk superhero theme, mungkin beliau perlu belajar dari John Williams atau Alan Silvestri. Sentuhan akhir memuatkan lagu dari Ramones seakan-akan deja vu filem Spider-Man: Homecoming (2017).
Tahap Hiburan [8.5]
Pada mulanya, kami jangkakan Shazam! hanyalah filem adiwira tahap saluran Nickelodeon sahaja. Owh! Sungguh kami tersilap besar di situ. Tanpa segan silu ingin kami tegaskan di sini bahawa Shazam! merupakan salah satu filem adiwira paling fun dan enjoy sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketika kami keluar dari panggung, kelihatan beberapa orang kanak-kanak bersama ibu bapa mereka tersenyum gembira sambil menjerit “Shazammmm!” bersama-sama. Jiwa kecil ini turut meronta dan ingin melonjak sama. Begitulah penangan filem Shazam! ini.
Walaupun padat dengan babak lucu dan gembira, Shazam! diselitkan juga dengan sedikit babak sedih dan menusuk jiwa. Juga terdapat sedikit adegan lawak yang agak kurang sesuai dengan budaya dan adat ketimuran rakyat Malaysia. Mohon gunakan pertimbangan sewajarnya.
Berdurasi selama 2 jam 12 minit, dari awal hingga ke penghujung, tidak ada satu detik pun filem ini membosankan. Sekiranya anda perlu ke tandas, mohon ‘bertahan’ dulu setakat yang mampu kerana dikhuatiri anda akan ketinggalan babak-babak yang menarik. Juga terdapat 2 babak tambahan ketika kredit akhir. Bertahanlah.
Keseluruhan [8.0]
Shazam! menemui anda mulai 4 April. Wajib tonton! Highly recommended! Kami beri review jujur dan seikhlas hati ni bukan semata-mata sebab kami diberikan tiket free, tau? Tonton bersama keluarga dan rakan-rakan serta jangan lupa komen, Like, Share dan Tag sekali kawan anda ya? Terutama sekali yang bernama Sharul Azam!
(Kredit Foto: IMDb)
Trending now



