
Chucky Akan Guna Suara Luke Skywalker
Anak patung berpuaka yang menjadi ikon klasik filem seram sejak lewat 80-an (Salah! Bukan Annabelle) iaitu Chucky dikhabarkan akan menggunakan suara pelakon Mark Hamill untuk reboot filem Child’s Play. (Kami terpaksa beberapa kali menyemak fakta bagi memastikan laporan ini sahih dan tidak ada kena-mengena dengan prank April Fool’s Day)
Orion Pictures baru-baru ini mengumumkan bahawa Mark Hamill akan ‘meminjamkan’ suaranya dalam filem yang turut sama dibintangi oleh Aubrey Plaza, Gabriel Bateman dan Brian Tyree Henry. Namun, bagaimana Aubrey Plaza yang sering popular di dalam filem-filem komedi indie boleh terlibat di dalam filem seram pula kali ini masih menjadi tanda tanya.
Umum sudahpun sedia maklum bahawa selain dari watak Luke Skywalker dalam filem-filem Star Wars, Mark Hamill merupakan seorang pelakon voice-over yang amat dikagumi. Walhal, sebelum membintangi Star Wars: Episode IV – A New Hope (1977) lagi, Mark Hamill sudah mula berkecimpung dalam arena lakon suara.
Dalam ratusan watak yang di’suara’kannya, yang paling popular pastilah watak animasi Joker dalam Batman: The Animated Series (1992–1995), filem animasi Batman iaitu The Killing Joke (2016) serta Batman: Mask of the Phantasm (1993) dan juga dalam permainan video Batman: Arkham Asylum (2009), Batman: Arkham City (2011) dan Batman: Arkham Knight (2015).
Peminat tegar Chucky pasti sedikit terkilan kerana pemilik suara asal Chucky dalam 7 filem sebelum ini – Child’s Play (1988), Child’s Play 2 (1990), Child’s Play 3 (1991), Bride of Chucky (1998), Seed of Chucky (2004), Curse of Chucky (2013) dan Cult of Chucky (2017) tidak kembali untuk kali ini.
Beliau yang dimaksudkan ialah Brad Dourif yang turut memegang watak pembunuh psiko Charles Lee Ray dalam filem asal Child’s Play. Lakonan dan suara Brad Dourif telah berjaya menghantui penonton sejak sekian lama. Kanak-kanak yang membesar pada awal 90-an pasti trauma setiap kali mendengar nama Chucky yang sinonim dengan Freddy Krueger, Jason Voorhees dan Michael Myers.
Adakah Mark Hamill juga akan muncul sebagai Charles Lee Ray? Berjayakah Mark Hamill menyandang tugas berat yang ditinggalkan oleh Brad Dourif ini? Chucky akan menerjah pawagam di seluruh Malaysia selepas Hari Raya Aidilfitri iaitu pada 20 Jun nanti. Sama-sama kita nantikan!
“The force is strong with this one.” – Darth Vader
Sumber laporan: IGN
Kredit foto: IMDb
Trending now



