0

Ulasan Filem: Avengers: Endgame (Tanpa ‘Spoiler’)

I keep telling everybody they should move on. Some do, but not us.” – Steve Rogers

Jutaan audiens di seluruh dunia seakan-akan masih terkesima menyaksikan bagaimana Thanos atau The Mad Titan berjaya menggunakan Infinity Gaunlet miliknya untuk melakukan genosid besar-besaran ke atas seluruh alam semesta. ‘The Decimation’ yang berlaku ketika Battle of Wakanda tersebut merupakan satu tamparan yang hebat buat Earth’s Mightiest Heroes. Selepas sedekad menghiburkan peminat dengan ‘happy ending,’ Marvel Cinematic Universe (MCU) telah berjaya mencipta satu kejutan hebat dengan memberikan penonton satu pengakhiran ‘cliffhanger’ yang tidak disangka-sangka.

1

Tiba-tiba media sosial menjadi kecoh. Masing-masing sibuk memberi pelbagai ulasan dan teori. Semua orang mengaku ‘pakar Marvel’. Adik-adik kecil di sekolah pun sudah menghafal ciri-ciri dan sifat kesemua Infinity Stones seperti sukatan baru mata pelajaran Kimia SPM. Makcik-makcik di dapur pun sudah kenal siapa Thanos ketika sesi ‘membawang’ Hari Raya Aidilfitri yang lepas (ini kisah benar). Begitulah hebatnya penangan MCU dengan Avengers: Infinity War yang menggegarkan pawagam-pawagam di seluruh Malaysia mulai 25 April 2018 yang lalu.

8

Genap setahun, selepas diacah dengan pelbagai ‘trailer’, ‘footage’, imej-imej dan juga ‘spoiler’ yang tidak diundang, akhirnya waktu yang ditunggu-tunggu telah tiba. Tanda pagar #AvengeTheFallen semakin memenuhi ruangan media sosial menandakan semangat yang membuak-buak untuk menyaksikan Thanos menerima balasan. Adakah penantian ini berbaloi? Dapatkah Avengers menewaskan Thanos? Berjayakah adik-beradik Russo membuat kejutan dan mengulangi lagi kejayaan mereka? Jawapannya: Ya! AVENGERS: ENDGAME tidak mengecewakan!

*cue tema Avengers*

Untuk mengupas plot yang lebih kompleks dan berat, babak pertama bermula agak perlahan. Pengarah benar-benar mengambil masa untuk menceritakan kepada penonton ‘aftermath’ dari Infinity War. Emosi penonton dieksploitasi dengan baik dan mereka lebih bersimpati dengan nasib adiwira kesayangan mereka. Selepas lebih kurang 15 minit yang pertama, AVENGERS: ENDGAME seolah-olah sudah boleh ditamatkan begitu sahaja. Habis cerita. Namun, penonton yang pastinya belum berpuas hati seolah-olah diberi pilihan untuk terus menonton babak seterusnya sebagai ‘alternate ending’.

2

Menyusul selepas itu, berbagai-bagai situasi yang mencemaskan berlaku umpama dalam babak filem-filem ‘heist’. Penonton kanak-kanak yang banyak garu kepala kerana sukar nak hadam atau pun yang tertidur tadi, bolehlah mula bangun kerana aksi sebenar bakal bermula. Meskipun ‘tone’nya tampak lebih serius dan ‘dark’, filem ini masih mampu membuatkan penonton ketawa, menjerit, melompat dan menangis. Pendek kata, kesemua 21 filem MCU sebelum ini dihasilkan hanya semata-mata bagi membolehkan penonton bersedia untuk menghadapi AVENGERS: ENDGAME ini.

Untuk itu, jangkakan juga ‘cameo’ dari watak-watak dalam MCU sebelum ini. Bukan saja dari mendiang Stan Lee, malah terlalu ramai ibarat pesta ‘cameo’ besar-besaran! ‘Ending’ AVENGERS: ENDGAME pula umpama visi Steven Spielberg dalam Ready Player One (2018). Terlalu banyak aksi di dalam studio dan di depan ‘green screen’. Tidak seperti Infinity War yang banyak memaparkan rimbunan pohon-pohon hijau Wakanda yang cantik. Pertempuran ‘CGI’ berskala besar olahan Peter Jackson 16 tahun yang lampau dalam The Lord of the Rings: The Return of the King (2003) juga masih sukar digugat.

4

AVENGERS: ENDGAME juga tampak jelas lebih banyak mengutamakan 6 watak-watak asal dari The Avengers (2012) dulu. Mereka yang terselamat dari penangan ‘Jurus Sakti Hikmat Maut Petikan Jari’ oleh Thanos ini jugalah yang lebih menyerlah. Memang sukar untuk membahagikan ‘screen time’ dalam filem sebegini. Namun, sedikit kecewa kerana ada watak yang diberi fungsi sebagai ‘comic relief’ sahaja. Fungsi Captain Marvel yang boleh bertukar menjadi ala-ala Goku dengan hikmat ‘Super-Saiyan’nya juga agak terbatas walaupun sebelum ini disebut-sebut sebagai ‘Pembunuh Thanos’.

Babak-babak akhir turut memuatkan beberapa adegan yang ‘cheesy’, membuatkan penonton ‘cringe’ dan melatah ‘what the fish?’. Mujur ada skor muzik dan lagu tema dari Alan Silvestri yang mampu membuatkan penonton meremang bulu roma. Walaupun masih menggunakan formula yang sama, Russo Brothers kini layak menjadi penulis buku: “Bagaimana Cara Yang Betul Untuk Membuat Filem Superhero”. *Christopher Nolan menjeling dari jauh* Cuma diharap janganlah selepas ini mereka jadi seperti Wachowski Sisters pula.

5

Seringkali penonton disajikan dengan kisah wira yang berjaya muncul mengalahkan penjahat di saat-saat akhir. Menyaksikan ‘superhero’ kalah teruk di tangan ‘super villain’ dalam Infinity War adalah amat memeritkan dan sukar diterima. Seperti ketika Luke Skywalker yang kehilangan tangan dan Han Solo dibekukan dalam ‘carbonite’; atau Marty McFly terkandas dalam tahun 1955 dan Doc Brown terperangkap dalam tahun 1885; atau juga ketika Jack Sparrow akhirnya tewas dan ditelan hidup-hidup oleh raksaksa Kraken; agak jarang sekali Hollywood memberikan kelainan sebegini.

3

Perlu diingat, walaupun Avengers: Infinity War (2018) turut tampil dengan kelainan, matlamat Anthony Russo dan Joe Russo kali ini adalah untuk menjadikan AVENGERS: ENDGAME sebagai penutup. Berbanding dengan episod pertengahan dalam sesuatu trilogi (seperti contoh-contoh di atas), filem ini merupakan penghujung perjalanan MCU selama 11 tahun. Bermula dengan Iron Man (2008), filem ke-22 ini hanyalah sebagai konklusi semata-mata kepada The Infinity Saga. Phase Three MCU bagaimanapun akan menutup tirainya dengan Spider-Man: Far From Home yang akan ditayangkan mulai 4 Julai ini.

7

Ke mana pula hala tuju MCU selepas ini? Tiada siapa yang tahu kerana Phase Four belum diumumkan secara rasmi. Adakah selepas ini MCU akan membawakan Dr. Doom? Apocalypse? Galactus? Kevin Bacon? Atau mungkinkah Thanos akan muncul kembali untuk main petik-petik jari lagi? Seperti The Dark Knight Rises (2012), AVENGERS: ENDGAME merupakan filem penutup yang kemas dan sempurna. Tetapi, filem-filem penutup ini agak sukar untuk menandingi filem sebelumnya iaitu dalam kes ini The Dark Knight (2008) dan Avengers: Infinity War (2018).

6

Bagi yang sudah menonton, mohon janganlah pula menyebarkan sebarang ‘spoiler’. Umpama filem Bollywood yang sarat dengan tarian dan nyanyian, 3 jam menonton filem ini dirasakan amat pantas berlalu. Tidak perlu bertahan dan sila berlari untuk ke tandas sebelum ‘berciciran’ kerana tiada apa-apa pun yang berlaku ketika/selepas kredit berakhir. Walaupun benar-benar ‘lived up to the hype’, AVENGERS: ENDGAME tidak cukup untuk mencapai tahap ‘rewatchable’ atau ‘repeat viewing’ seperti Infinity War dulu.

I know I said no more surprises, but I was really hoping to pull off one last one.” – Tony Stark

Rating: 8/10

 

(Kredit Foto: IMDb)