Inkues Adib

Dakwa Diugut Saksi Lain, Pakar Forensik Inkues Adib Buat Laporan Polis

Umum sedia maklum, siasatan kes kematian ahli bomba Muhammad Adib Muhammad Kassim yang meninggal pada kekecohan isu pemindahan tapak kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya masih lagi berjalan.

Namun, timbul satu isu baru apabila pihak polis mengesahkan telah menerima dua laporan polis daripada dua orang doktor pakar Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur pada Sabtu lalu pada jam 9.28 malam.

Dua orang pakar forensik itu mendakwa bahawa seorang lagi saksi pakar telah cuba meyakinkan mereka untuk menandatangani surat persetujuan bahawa kecederaan di dada kanan dan di lengan atas sebelah kanan Adib adalah berpunca daripada pintu kiri kenderaan EMRS.

“Selain itu saya merasa tidak puas hati dengan kata-kata beliau, ‘jika tidak bersetuju either you going down or I’m going down’.” – Saksi yang diugut

Mereka juga memberitahu cubaan mempengaruhi penilaian mereka bukan sahaja boleh menjejaskan integriti sebagai saksi tetapi seolah tidak menghormati mahkamah.

Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah pula memberitahu bahawa beliau tidak mengetahui mengenai perkara tersebut sebelum pagi tadi menerusi laporan berita.

Inkues Adib

Kes disiasat dibawah Seksyen 189 Kanun Keseksaan iaitu Ugutan Bencana Kepada Seorang Penjawat Awam.

Sumber: Astro Awani