roboh masjid China

Lagi Pihak Berkuasa Roboh Masjid Di China

Sedang kita mendengar dan melihat perkembangan kejadian kebakaran gereja terbesar Paris, Notre Dame, tahukah anda sebuah masjid di wilayah Gansu, China sebahagiannya dirobohkan pihak berkuasa?

Ia berlaku pada 9 April lalu dalam kempen terbaharu Beijing untuk menghapuskan tradisi masyarakat Islam di negara itu.

Pihak berkuasa China melancarkan tindakan kekerasan terhadap minoriti umat Islam di negara ini terutamanya di Xinjiang yang menyaksikan kira-kira sejuta etnik Uighur ditahan di kem tahanan.

Menurut laporan tempatan, penindasan itu secara berterusan diperluaskan ke beberapa wilayah lain dengan kemusnahan masjid dan simbol Islam di wilayah Ningxia dan Gansu yang menempatkan masyarakat Islam dari etnik Hui.

Pihak berkuasa tempatan mero­bohkan sebahagian masjid yang di kampung Gazhuang, Wilayah Autonomi Linxia Hui di Gansu, merosakkan kubah emas dan ciri-ciri Islamik masjid itu.

Masjid tersebut dibina kurang sebulan lalu dan penduduk tempatan diberi amaran agar tidak memuat naik sebarang foto atau video berhubung perobohan masjid berkenaan.

Namun, beberapa video muncul dalam Twitter beberapa hari kemudian menunjukkan keadaan kubah masjid yang musnah serta serpihan bertaburan di bumbung dan berdekatan pintu masuk masjid.

Individu yang merakam vi­deo itu menghantar klip itu kepada wartawan bebas berasal dari Xinjiang, Erkin Azat yang kini me­netap di Kazakhstan dan memuat naik video berkenaan di internet.

“Menurut sumber saya, pero­bohan di wilayah Gansu bermula tahun lalu. Masjid dimusnahkan dan amat sukar untuk mengesahkan angka sebenar masjid yang dirobohkan di Gansu.

“Matlamat kerajaan adalah satu masjid untuk setiap bandar atau daerah dan masjid-masjid di pinggir bandar kini hilang semuanya. Hanya satu masjid di­simpan sekiranya organisasi antarabangsa datang untuk mene­mu ramah komuniti Muslim,” ujar Azat.

Perkara ini membuatkan penduduk Muslim di sana takut untuk ke masjid, menyuarakan pendapat dan takut untu disoal siasat.

Bulan lalu, peraturan baharu telah dikuatkuasakan di wilayah Gansu yang memerlukan kumpulan dan institusi agama bebas daripada pengaruh agama dan mematuhi ‘orientasi Cina’.

Selain masjid, pihak berkuasa turut merobohkan gereja dan melarang penjualan Bible pada tahun lalu.

Sumber: Utusan Online