The Curse Of The Weeping Woman

Ulasan Filem: The Curse Of The Weeping Woman

Hollywood semakin ketandusan idea dalam menghasilkan filem sub-genre seram. Penonton juga seperti sudah muak dengan filem-filem found footage, slasher film, torture porn, monster movie dan teen horror. Bersepah-sepah filem Jepun, karya-karya Stephen King dan juga masterpiece klasik seperti Alfred Hitchcock’s Psycho (1960) turut dijadikan mangsa remake. Tiada lagi golongan yang benar-benar menghargai titik peluh artis seperti Rick Baker yang menghasilkan solekan tanpa CGI. Pengarah-pengarah tersohor seperti Dario Argento, John Carpenter, Clive Barker dan Hideo Nakata menjadi semakin tidak relevan. Mendiang Tobe Hooper, George A. Romero dan Wes Craven pula terus lupus dari ingatan.

The Curse Of The Weeping Woman

Usaha James Wan bagi menghasilkan sesuatu kelainan melalui The Conjuring Universe memang wajar dipuji. Jika sebelum ini, kes-kes kisah benar penyiasat paranormal Ed Warren dan Lorraine Warren menjadi tonggak cerita, kali ini kisah folklore atau urban legend dari Mexico pula diambil sebagai inspirasi. The Curse of the Weeping Woman sebenarnya merupakan tajuk alternatif untuk tayangan filem ini di negara-negara Asia Pasifik seperti di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Australia. Tajuk asal filem ini yang digunakan di Amerika Syarikat ialah The Curse of La Llorona. Tidak seperti watak Annabelle atau The Nun, sebagai kisah dongeng rakyat, La Llorona mungkin hanyalah rekaan orang-orang tua dahulu kala yang disampaikan turun temurun untuk mengawasi anak-anak kecil supaya tidak nakal.

The Curse Of The Weeping Woman

Pacing di permulaan agak lembab mungkin kerana ingin memberi sedikit masa untuk character development.  Seperti biasa, elemen-elemen cliché dan stereotype pasti wujud dalam filem seram seperti ini. Watak kanak-kanak pasti yang mula-mula dahulu ‘diganggu’. Watak dewasa pula sudah pasti tidak mempercayainya atau sengaja buat-buat tidak tahu. Adegan yang melibatkan lampu atau lilin terpadam, pintu terbuka atau tertutup, angin kencang, hujan lebat, petir dan guruh wajib ada. Jelmaan hantu pula mesti digambarkan sebagai individu berpakaian putih, berkuku panjang dan kotor serta berambut hitam, panjang dan tidak terurus. Entah kenapa adegan dalam bilik mandi atau di dalam bath tub juga seolah-olah wajib diselitkan.

The Curse Of The Weeping Woman

Babak seterusnya The Curse of the Weeping Woman penuh dengan ‘curiosity-jump scare-repeat’. Banyak adegan yang memaparkan watak terdengar bunyi sesuatu, pergi siasat tapi tidak jumpa apa-apa, tiba-tiba jump scare, tarik nafas lega sekejap, jump scare sekali lagi dan ulang kembali. Banyak juga adegan yang menyebabkan penonton menggeleng kepala, menepuk dahi serta ketawa tidak berhenti walaupun ketika suasana yang sepatutnya serius dan menyeramkan. Keupayaan watak pawang genius yang berupaya mencipta ‘anti-venom’ dan dengan selamba mengubah sebuah kolam renang menjadi kolam holy water memang amat sukar untuk diterima. Seolah-olah menonton siri filem Scary Movie (2000-2013) dari Wayans Brothers pula.

Apapun, Michael Chaves sebagai pengarah masih boleh pergi jauh jika diberi material yang sesuai. Tracking shot pada babak permulaan sangat cantik. Penggunaan imej dari pantulan cermin serta editing yang sungguh kemas memang mempersonakan. Babak di dalam kereta juga berjaya membuatkan penonton gelisah. Penggunaan bunyi pintu, tapak kaki dan cermin retak amat menjadi dalam membangkitkan mood penonton. Plot twist di saat akhir bagaimanapun agak kurang memberi impak. Walaupun ini hanya merupakan filem sulungnya, Michael kini khabarnya telah banyak menerima tawaran termasuklah diberi tanggungjawab untuk mengarah The Conjuring 3 tahun depan.

William Friedkin hanya banyak memaparkan watak Regan terbaring di atas katil sepanjang The Exorcist (1973) tetapi sehingga kini masih belum ada filem seram yang benar-benar berjaya mengatasi filem ini. Jelmaan hantu, puaka dan momok filem-filem seram sekarang lebih menekankan kepada aspek keganasan fizikal seperti mencakar, mencekik, ‘makan budak’ dan sebagainya. Memang agak sukar untuk mencari idea original untuk dijadikan filem seram pada hari ini. Penonton juga sudah semakin bijak dan tidak mudah tertipu. Setelah M. Night Shyamalan seolah-olah turut berputus asa, kehadiran The Conjuring Universe ini amatlah diharapkan dapat mengembalikan kegemilangan filem-filem seram Hollywood. Bagi yang masih belum puas, mungkin filem terbaru seperti Hereditary (2018) dan siri Netflix The Haunting of Hill House (2018-) dapat membantu.

The Curse Of The Weeping Woman

Jika hendak dibandingkan, filem ini juga jauh lebih baik dari The Nun (2018) dan Mama (2013) yang terlalu banyak bergantung kepada CGI. Namun, Nicole Kidman dan watak anak-anaknya dalam The Others (2001) lebih meyakinkan dari Linda Cardellini dan anak-anaknya dalam filem ini. Agak keterlaluan juga jika hendak membandingkan pelakon kanak-kanak filem ini dengan Haley Joel Osment yang tercalon untuk Oscar dalam The Sixth Sense (1999) dulu. Bagaimanapun, lakonan para pelakon kanak-kanak dalam filem ini tidaklah mengecewakan.

The Curse Of The Weeping Woman

Keseluruhannya, The Curse of the Weeping Woman tidak gagal dan masih menghiburkan. Cuma, filem ini tidaklah begitu seram, terlalu biasa serta tidak menawarkan apa-apa yang istimewa. Filem Setinggan (1981) karya Allahyarham Datuk Aziz Sattar dan Rahsia (1987) dari Othman Hafsham lebih menyeramkan dan memberi kesan yang mendalam kepada penonton di Malaysia khususnya.

The Curse of the Weeping Woman menemui penonton di Malaysia mulai 18 April 2019. Buat 2 minggu berturut-turut Shazam! mengungguli carta box office di Amerika Syarikat dan berjaya menyekat Hellboy dari merampas takhta. Dapatkah La Llorona pula cuba untuk menewaskan Shazam! minggu ini?

Rating: 6.8/10

 

(Kredit Foto: IMDb)