
Walaupun Selepas 10 Tahun, Aura Tiger Woods Masih Berbisa
Tiger Woods bukan nama yang asing dalam dunia golf. Suatu ketika dahulu, beliau pernah menjadi pujaan ramai orang dan dijadikan idola sebagai atlet dengan pendapatan tertinggi di dunia.
Memulakan kerjaya pada usia 20 tahun (1996), nama Tiger Woods semakin tenggelam selepas terlibat dalam skandal seks bersama pengurus kelab malam New York City, Rachel Uchitel pada 2009.
Selepas 10 tahun, Tiger Woods membuat kemunculan comeback di padang golf sekaligus berjaya merangkul gelaran Augusta Master Ahad lalu yang membolehkan beliau menyarung kembali jaket hijau rebutan ramai pemain golf dunia.
Gelaran tersebut merupakan gelaran Masters ke-5 buat beliau; gelaran kali terakhir adalah pada tahun 2008.
Kemenangan Tiger Woods itu juga merupakan kemenangan ke-15 bagi kejohanan utama golf selepas beliau berjaya menewaskan rakan senegaranya dari Amerika Syarikat iaitu Dustin Johnson, Xander Schauffele dan Brooks Koepka dengan hanya satu pukulan sahaja.
Ramai yang tidak menyangka comeback Tiger Woods dalam padang golf akan membuahkan hasil sama seperti era kegemilangan beliau sebelum timbulnya isu skandal seksnya.
Secara fizikal, Tiger Woods dilihat tidak akan mampu ‘bersinar’ akibat daripada pelbagai masalah peribadi dan kesihatan yang menimpa.
Namun beliau berjaya membuktikan kemarau kerjayanya selama lima tahun berjaya dihentikan dengan kejayaan Jelajah PGA di East Lake tahun lepas.
Menyambut gelaran Augusta Master bersama kedua-dua anaknya, Tiger Woods dilihat mengalirkan air mata kegembiraan sambil disaksikan oleh penonton di sekelilingnya.
Kebangkitan Tiger Woods ini digelar sebagai comeback yang paling hebat dalam sejarah sukan, walaupun selepas beberapa tahun ‘berdiam diri’.
Sumber: Astro Awani
Trending now



