Israel tukar masjid kelab malam

Israel Tukar Masjid Bersejarah Jadikan Kelab Malam

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Israel telah mencetuskan kemarahan umat Islam Palestin apabila bertindak menukar Masjid Al Ahmar di wilayah Safed menjadi kelab malam.

Permohonan bagi menukar masjid bersejarah itu menjadi bar dan dewan perkahwinan mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Israel di wilayah berkenaan.

Masjid berkenaan adalah antara rumah ibadat umat Islam paling bersejarah di bandar raya Safed, yang terletak di utara Palestin, kemudian diceroboh rejim Zionis pada 1948.

Bangunan itu pada mulanya dijadikan sekolah Yahudi, kemudian pusat bagi kempen pilihan raya parti Likud dan bertukar kepada kedai pakaian sebelum ditukar kepada kelab malam. Masjid itu dibuka untuk hampir semua acara kecuali solat bagi penduduk Muslim.

Israel tukar masjid kelab malam
Sumber; Middle East Monitor

Namanya turut ditukar kepada Khan Al-Ahmar, menurut Middle East Monitor, memetik laporan akhbar Al-Quds Al-Arabi.

Salah seorang penduduk di wilayah itu berkata, Masjid Al Ahmar mendapat namanya kerana ia dibina menggunakan batu berwarna merah.

Masjid itu mempunyai nilai sejarah dan seni bina tersendiri. Ia dibina oleh Mameluke Sultan Al Daher Baibar (1223-1277 Sebelum Masihi) dan mula diceroboh pelampau Yahudi pada 1948.

Setiausaha Infak Safed dan Tiberias, Khair Tabari, berkata beliau menunggu mahkamah Nazareth membuat keputusan mengenai aduan yang difailkan meminta masjid itu dikosongkan dan dikembalikan kepada agensi itu.

Tabari menambah, beliau menyertakan dokumen membuktikan pemilikan masjid berkenaan dan menggesa parti politik dan badan popular meningkatkan kerjasama dengannya dalam usaha menyelamatkan masjid itu daripada sebarang pelanggaran.

Beberapa tahun lalu, rejim Zionis dilihat sengaja mencetuskan konfrontasi apabila membuka beberapa bar dan pusat hiburan berhampiran Masjid Al-Aqsa yang merupakan tempat suci ketiga umat Islam.

Sumber: Sinar Harian