Serangan Pengganas Masjid Christchurch

Ini Yang Terjadi Selepas Peristiwa Serangan Pengganas Di Masjid Christchurch

Pada Jumaat lalu, dunia digemparkan dengan insiden serangan pengganas ke atas dua buah masjid di Christchurch, New Zealand. 50 mangsa terkorban dan 50 yang lain cedera termasuk 34 masih dirawat di hospital manakala 12 lagi ditempatkan di unit rawatan rapi.

Polis mengesahkan lelaki warga Australia, Brenton Tarrant adalah satu-satunya pengganas yang bertanggungjawab dalam serangan di dua masjid berkenaan.

Tarrant yang obses dengan ideologi ketuanan kulit putih, dihadapkan ke mahkamah sehari selepas kejadian itu dan dia dilaporkan menolak khidmat peguam, sebaliknya ingin mewakili diri sendiri di mahkamah.

Selepas peristiwa serangan pengganas itu, seluruh dunia bersimpati malah hubungan penduduk New Zealand walaupun berlainan agama dan bangsa semakin utuh.

Serangan Pengganas Masjid Christchurch
Sumber: The Times of Israel

Biarpun berlainan agama, penduduk Kristian New Zealand mengambil inisiatif menjaga perkarangan masjid dan meraikan umat Islam menunaikan ibadah.

Begitu juga yang terjadi di luar negara terutama di negara minoriti umat Islam seperti di Kanada. Mereka yang bukan Islam membuat benteng di perkarangan masjid bagi menjaga keselamatan daripada serangan yang tidak diingini.

Kosta Barbarouses, pemain bola sepak kelahiran New Zealand meraikan jaringan gol pembukaan pada minit ke-24 dengan melakukan ‘sujud syukur’ walaupun beliau bukan seorang Muslim sebagai tanda penghormatan kepada mangsa-mangsa serangan pengganas.

Geng bermotosikal paling bahaya di New Zealand telah mengecam tindakan pengganas dan turut berkumpul memberi bunga serta menawarkan sokongan kepada keluarga yang terjejas dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai itu.

Will Connoly, seorang remaja Australia diangkat sebagai wira atas tindakan berani memecahkan telur ke atas kepala Senator Australia, Fraser Anning yang lantang tidak menjaga sensitiviti masyarakat Muslim selepas kejadian serangan tembakan itu.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengesahkan undang-undang senjata api negara itu akan dipinda bagi membincangkan polisi kerajaan dan isu pengganas serta keselamatan orang awam.

Pasukan gergasi ragbi New Zealand, Canterbury Crusaders mempertimbangkan keputusan untuk menukar nama kelab itu setelah isu tersebut dibangkitkan orang awam kerana perkataan Crusaders yang sudah diguna pakai sejak 23 tahun lalu itu mempunyai kaitan dengan peperangan agama zaman pertengahan antara orang Kristian dan umat Islam.

Peristiwa ini menunjukkan sinar Islam semakin berkembang walaupun media sering menunjukkan ‘keganasan’ banyak berpunca daripada umat Islam. Berharap insiden seperti ini membuka banyak mata kepada mereka lebih dekat mengenali agama Islam.