
Gempa Lombok: Mangsa Korban Dibawa Pulang Ke Malaysia Hari Ini
Gempa bumi yang melanda kawasan Air Terjun Tiu Kelep, Desa Senaru, Lombok Timur, Indonesia di kaki Gunung Rinjani pada jam 3.07 waktu Malaysia Ahad lalu telah menyebabkan kejadian tanah runtuh.
Pada awalnya, gegaran sekuat 5.8 skala richter melanda dan disusuli dengan 5.2 skala richter selepas dua minit kemudian.
Melibatkan mangsa seramai 40 orang, Air Terjun Tiu Kelep merupakan lokasi pelancongan yang menjadi tumpuan terutamanya kepada pencinta fotografi alam.
23 daripadanya adalah mangsa warganegara Malaysia dengan jumlah korban nyawa seramai dua orang, iaitu Datin Tai Siew Kim (editor akhbar Sin Chew Daily) dan Lim Sai Wah (isteri editor China Press, Datuk Teoh Yang Khoon).
Jasad kedua mendiang akan dibawa pulang ke Malaysia dengan penerbangan Garuda Indonesia dan akan tiba di KLIA pada jam 5.10 petang hari ini.
Manakala 17 orang lagi bakal menaiki pesawat AirAsia terus dari Lombok pada hari ini dan dijangka tiba pada jam 3.15 petang.
Seramai empat mangsa rakyat Malaysia yang cedera masih lagi dirawat di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Mataram sehingga pulih sebelum dibawa pulang.
Usaha mengeluarkan mangsa terjejas melalui kesulitan akibat daripada hujan lebat yang melanda lokasi kejadian dan proses pengeluaran mangsa masih diteruskan semalam kerana masih ada yang tersepit.
Rakyat Malaysia yang berada di Lombok dan sekitarnya boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di talian +62 813 80813036/ +6221 522 4947 atau Wisma Putra 03-8887 4570 untuk mendapatkan bantuan.
Selain daripada itu, rakyat Malaysia di Republik Indonesia bolehlah mengisi borang pendaftaran di sini.
Sumber: Berita Harian
Trending now



