EggBoy

Kerana ‘Telurkan’ Anning, Akaun Twitter EggBoy Disekat

Berang dengan komen Senator Fraser Anning yang tidak menjaga sensitiviti masyarakat Muslim, seorang remaja telah bertindak berani memecahkan telur ke atas kepala Anning.

BACA: Gempar! Tragedi Tembakan Solat Jumaat Masjid Christchurch Merupakan Hari Paling Gelap Di New Zealand

Mendapat gelaran Eggboy, Will Connolly, 17 tahun dipuji ramai atas tindakan beraninya ‘menelurkan’ Anning semasa sesi temu bualnya bersama media di Melbourne.

Terkejut dengan tindakan terbabit, Anning bertindak balas menumbuk remaja berkenaan. Kemudiannya Connolly ditekan ke lantai oleh beberapa orang lelaki yang dipercayai sebagai penyokong Anning.

EggBoy
Sumber: Twitter

Diangkat sebagai hero, Connolly turut ditawarkan beberapa hadiah antaranya, tiket ke konsert secara percuma seumur hidup, kereta Ferrari, jemputan ke program The Living End, tajaan pembayaran kos guaman, stok telur dan percutian percuma serta penginapan di hotel 5 bintang selama 10 hari ke Turki.

Ada juga antara penyokong Eggboy membuka laman web sumbangan dana (GoFundMe) untuk Connolly dan telah mengutip lebih daripada USD42,000.

BACA: Warga Malaysia Cerita Pengalaman Jadi Saksi Tragedi Berdarah Masjid Christchurch

Namun Connolly menyuarakan hasratnya untuk menyumbang sebahagian besar daripada dana tersebut kepada mangsa tragedi serangan pengganas.

Ditangkap dan kemudiannya dilepaskan oleh pihak polis, akaun Twitter Connolly dibanjiri dengan ucapan tahniah dan terima kasih atas tindakan beraninya.

Namun, sejak semalam ramai pengguna memberitahu bahawa akaun Twitter Connolly sudah tidak dapat diakses dan berkemungkinan besar telah disekat oleh ‘pihak sana’.

Namun, ramai pengguna Twitter sempat memuat naik tangkapan skrin laman Twitter Connolly yang menunjukkan bahawa beliau tidak merasa kesal dengan perbuatannya, malahan bangga kerana ‘bangun’ membela masyarakat Muslim.