Bonda Sultan Johor Mangkat

Bonda Sultan Johor Mangkat

Bonda kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Tengku Puan Zanariah Almarhum Tengku Ahmad dikhabarkan telah mangkat pada hari ini.

Berita yang disampaikan melalui laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kira-kira 8.45 pagi tadi dengan hantaran sekeping gambar tanpa penjelasan lanjut.

Bonda Sultan Johor Mangkat
Sumber: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Kami merakamkan ucapan takziah kepada seluruh Kerabat Diraja Johor di atas kemangkatan Tengku Puan Zanariah Almarhum tengku Ahmad. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Sekadar perkongsian, Tengku Puan Zanariah sebelum ini dikenali sebagai Sultanah Zanariah yang merupakan isteri Sultan Iskandar daripada perkahwinan mereka pada tahun 1961 sehingga kemangkatan baginda pada tahun 2010.

Diputerikan pada 5 Julai 1940 di Dusun Green, Pasir mas, Kelantan, baginda merupakan puteri ketujuh kepada Yang Berhormat Mulia Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Long Ahmad dan Che Puan Hajjah Fatima di antara sembilan orang adik beradik.

Di atas dorongan ayahanda dan disertai pula dengan perasaan untuk melengkapkan diri bagi masa hadapan, baginda telah berangkat ke England dalam tahun 1954 untuk melanjutkan lagi pelajaran baginda di Upper Chime School Isle of Wight.

Semasa berada di England inilah, maka takdir telah menentukan bahawa baginda telah ditemu buat kali pertamanya dengan baginda Sultan Iskandar yang juga pada masa yang sama berada di England bagi melanjutkan pelajaran baginda.

Baginda amat mencintai seni serta semua yang indah. gemar memasak, baginda akan mengambil berat tentang persiapan santapan setiap hari. Malah beliau sendiri terlibat dalam hal memilih dan mengatur segala perhiasan istana terutamanya apabila ada majlis-majlis santapan rasmi.

 

Selain daripada gemar membaca dan mengambil tahu tentang kebudayaan, sejarah dan hal ehwal negara jiran, baginda mengisi masa lapang dengan aktiviti riadah, menunggang kuda, bermain golf dan tenis. Ramai yang tidak tahu, baginda merupakan seorang yang handal dan cekap bermain ‘water ski’.

Baginda juga boleh dikatakan Sultanah Johor yang pertama pernah mencatatkan sejarah apabila baginda berangkat mendaki Gunung Ledang, gunung yang tertinggi dan masyhur dalam sejarah Negeri Johor.