Spider-Man: Into the Spider-Verse

Ulasan Filem: Spider-Man: Into the Spider-Verse, Animasi Mantap Marvel

Filem: Spider-Man: Into the Spider-Verse

Lakon suara: Shameik Moore, Jake Johnson, Hailee Steinfeld, Mahershala Ali, Nicolas Cage dan ramai lagi

Pengarah: Peter Ramsey, Bob Persichetti dan Rodney Rothman

1
Sumber: @SpiderVerseMovie

Plot: 7.5/10

“Kenapa ada ramai sangat Spider-Man ni? Siapa sebenarnya Spider-Man yang betul? Sebenarnya kita ni berada di dalam dimensi  yang mana satu?” Aduh, pening dibuatnya! Mungkin agak sukar bagi ibubapa untuk menjelaskan konsep multi universe atau kepelbagaian dimensi kepada anak-anak kecil yang sudah biasa dengan watak Peter Parker dalam filem-filem Spider-Man terdahulu. Namun, kami dapati sebenarnya plot Spider-Man: Into the Spider-Verse ini walaupun kompleks, tapi masih mudah difahami, tersusun kemas dan berjaya digarap dengan amat baik. Syabas kepada pengarah-pengarah filem ini yang berani mempersembahkan sesuatu yang baru dan original dalam dunia filem superhero. Anak-anak kecil pun pasti tidak ada masalah untuk menikmati filem ini (tertakluk kepada keperibadian dan daya intelek kanak-kanak tersebut).

Animasi & lakon suara: 8.0/10

Di samping bakat-bakat baru, Spider-Man: Into the Spider-Verse turut menampilkan suara yang disumbangkan oleh bintang-bintang terkemuka yang terdiri daripada pemenang-pemenang dan calon-calon anugerah Oscar. Setiap pertuturan nampak semulajadi dan bersahaja seolah-olah tidak berpandukan skrip langsung! Pujian wajar diberi kepada Shameik Moore yang mantap menjiwai watak Miles Morales.

Animasinya nampak hidup dan sangat cantik menggunakan warna-warna bercahaya dan terang dengan kesan efek distorted seolah-olah berada dalam permainan video. Penonton diibaratkan berada di dalam dunia mimpi dan halusinasi yang berwarna-warni. Ditambah pula dengan stail corak animasi berinspirasikan komik yang dilukis di atas tekstur kanvas yang kasar dan berbintik halus. Watak-watak dilukis dengan teliti dan kesan mimik muka yang terhasil berjaya menyentuh perasaan penonton. Tidak hairanlah jika selepas menonton filem ini, ramai yang jatuh cinta dengan Gwen Stacy.

Nilai hiburan: 8.5/10

Dari mula sampai ke penghujung, filem ini tidak membosankan dan padat dengan gelagat lucu dan ada juga babak sedih serta penuh dengan aksi yang mendebarkan. Soundtrack dan lagu-lagu irama bertenaga berjaya menemani setiap babak aksi dan yang paling kami minati ialah ketika setiap kali watak Prowler muncul. Mungkin babak pertarungan akhir dengan Kingpin boleh diperbaiki lagi agar lebih panjang dan epik serta berskala besar ala-ala filem anime atau manga. Seperti biasa ada cameo dari mendiang Stan Lee dan jangan lupa ada lawak penutup di pengakhiran kredit.

Sejak filem animasi pertama menggunakan lukisan tangan karya Walt Disney iaitu Snow White and the Seven Dwarfs (1937), bidang animasi Hollywood semakin pesat berkembang. Kehadiran filem-filem animasi stop-motion dan CGI turut merancakkan lagi bidang ini. Filem dari Pixar iaitu Toy Story (1995) telah menjadi penanda aras untuk filem-filem animasi sejak sekian lama. Kini, tiba pula giliran untuk Spider-Man: Into the Spider-Verse yang sehingga kini telah berjaya menyapu bersih hampir 60 anugerah termasuklah anugerah Filem Animasi Terbaik Anugerah Academy, Golden Globes, BAFTA dan Annie. Tidak keterlaluan sekiranya kami katakan filem ini sepatutnya turut layak dicalonkan bersama-sama dengan Black Panther (2018) sebagai Filem Terbaik Anugerah Academy seperti yang pernah berlaku pada tahun 1991 apabila Beauty and the Beast oleh Disney menjadi filem animasi pertama yang mencipta sejarah kerana berjaya mendapat pencalonan. Sayang juga lagu tema Sunflower nyanyian Post Malone dan Swae Lee tidak tercalon untuk Oscar kali ini. Pasti hebat kalau dapat berentap dengan Lady Gaga dan Bradley Cooper di malam penyampaian Anugerah Academy baru-baru ini.

Ketika Hollywood sedang ketandusan idea, Disney dan Pixar pula sibuk dengan live action remake dan sekuel yang tiada makna, lahir sebuah filem animasi masterpiece seperti ini. Amat sesuai dengan kempen memperjuangkan watak utama bagi golongan wanita dan berlainan warna kulit di Hollywood ketika ini. Tahniah Sony Pictures Animation!

Anyone can wear the mask” – Miles Morales.

Keseluruhan:  8.0/10

Wajib tonton dan wajar dijadikan koleksi! Dapatkan Blu-ray dan DVD Spider-Man: Into the Spider-Verse di pasaran mulai 20 Mac ini.

“That person who helps others simply because it should or must be done, and because it is the right thing to do, is indeed without a doubt, a real superhero. Thanks to Stan Lee and Steve Ditko, for showing us we’re not the only ones.”

Didedikasikan untuk Stan Lee (1922-2018) dan Steve Ditko (1927-2018).

Untuk rekod, Pengarah Venom telah mengesahkan bakal terdapat filem ‘crossover‘ di antara Venom dan Spider-Man.

Oh ya, sudahkah anda menonton filem Spider-Man: Far From Home? Jika belum, saksikan trailer terbarunya di sini.