
2 Situasi Berbeza Rai Habis SPM: Pelajar Biasa VS Pelajar Banduan
Semalam merupakan hari terakhir bagi sebahagian calon menjawab kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Menjadi kebiasaan bagi calon SPM untuk meraikan tamatnya peperiksaan dan sesi persekolahan.
Bagaimanapun, kurang 24 jam tamat peperiksaan tersebut, beberapa kawasan tumpuan pelancong di Melaka dicemari sekumpulan pelajar yang menunggang motosikal secara melulu.
Tindakan sekumpulan calon SPM itu turut dirakam dan tular di media sosial. Mereka turut merakam aksi-aksi lagak samseng dan aktiviti tidak sihat seperti merokok secara terang-terangan di kawasan awam.
Sedang sekumpulan pelajar ini ‘berpesta’ di jalan raya, berbeza pula dengan calon SPM banduan melakukan sujud syukur selepas selesai menjawab soalan peperiksaan terakhir di Sekolah Integriti Penjara Marang.
Menurut guru sekolah itu, seramai 16 banduan yang mengambil SPM 2019. Sejak lima tahun lalu, ada dalam kalangan banduan hanya belajar setakat darjah enam, namun berkat kesungguhan dan usaha secara bersama, mereka bersemangat mengambil SPM tanpa perlu dipaksa malah turut belajar secara berkumpulan setiap malam sejak awal tahun.

“Bantulah saya dengan berdoa agar keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini cemerlang untuk bawa saya ‘terbang jauh’ dari penjara,” kata salah seorang banduan calon SPM yang ditemuramah Bernama dalam keadaan sebak.
“Keputusan SPM ini akan dimasukkan dalam permohonan rayuan pengampunan. Doakanlah agar saya ‘dilihat’ (oleh Sultan Terengganu)… ia jadi penguat untuk saya bebas sebab saya tiada tarikh bebas (dari penjara).
“Saya ambil SPM ini juga untuk buat mak bangga sebab masa kat luar (bebas), saya tak dapat buat macam tu,” katanya yang direkodkan sebagai banduan berdisiplin dan sentiasa menunjukkan keperibadian tinggi sepanjang ditahan.
Semasa peperiksaan percubaan, banduan tersebut memperoleh 4A 2B 1C dan menyasarkan sekurang-kurangnya mendapat keputusan 5A 2 B dalam SPM kali ini.
Kebanyakan mereka yang sedang menjalani hukuman penjara disabit atas kesalahan berkaitan dadah ditambah dengan faktor kemiskinan keluarga dan keinginan mahu menikmati kemewahan dengan cepat menjadi punca mereka tersilap langkah melakukan jenayah.
Trending now



