19 Tahun Beroperasi, Yahoo Groups Ditutup Buat Selamanya

Yahoo Groups Tutup Selamanya

19 Tahun Beroperasi, Yahoo Groups Bakal Ditutup Buat Selamanya.

Yahoo Groups merupakan salah satu laman berbentuk forum komuniti yang sangat popular ketika era permulaan internet.

Bagaimanapun, pengguna forum internet Yahoo Groups harus menerima hakikat bahawa mereka tidak lagi dapat menggunakan platform tersebut mulai 15 Disember 2020.

Verizon, pemilik Yahoo sejak 2017, memutuskan untuk menghentikan perkhidmatan tersebut setelah 19 tahun beroperasi.

Pemilik Yahoo itu telah mengumumkan keputusan untuk menutup Yahoo Groups melalui e-mel yang dihantar kepada pengguna dan mesej yang disiarkan di laman web rasminya.

Yahoo Groups telah diperkenalkan pada 2001 yang lepas, namun populariti untuknya merudum dari hari ke hari. Pada hari ini, pengguna dilihat lebih selesa menggunakan laman seperti Facebook Groups, Google Group dan Reddit.

Dengan pengumuman ini juga, pengguna Yahoo Groups kini tidak lagi boleh membuat kumpulan baru pada perkhidmatan berkenaan.

“Yahoo Groups telah mengalami penurunan penggunaan yang berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun keputusan ini tidak mudah, kadang-kadang kita harus membuat keputusan yang sukar mengenai produk yang tidak lagi sesuai dengan strategi jangka panjang kita kerana kita fokus pada bidang perniagaan yang lain,” tulis Verizon dalam pengumuman.

Yahoo Groups Tutup Selamanya

Apakah nasib perkhidmatan e-mel Yahoo?

Menurut Verizon, belum ada keputusan untuk menghentikan perkhidmatan Yahoo Mail. Jadi, pengguna masih boleh menggunakan perkhidmatan e-mel Yahoo seperti biasa.

Sebelum ini, Verizon menutup perkhidmatan pesanan Yahoo Messenger pada 17 Jun 2018, iaitu aplikasi yang sering dipanggil YM, pernah menguasai dunia media sosial pada awal tahun 2000.

Tumbangnya Yahoo sebagai ikon Internet

Tiada syarikat gergasi mahu gagal seperti Yahoo. Yahoo, nama yang tidak asing lagi bagi kita semua, terutama bagi masyarakat sekarang yang kehidupan sehariannya tidak terlepas dari internet.

Kewujudan Yahoo membuatkan kita mengenali e-mel, chat room, dan search engine. Syarikat yang dibangunkan oleh Jerry Yang dan David Filo semakin lama semakin merosot selepas pengunduran Jerry Yang untuk mengejar minatnya yang lain.

Selain itu, Yahoo tidak mempunyai misi yang jelas menyebabkan mereka terus gagal tidak seperti syarikat gergasi Internet yang lain. Dalam tempoh 24 tahun, Yahoo telah memaparkan sebanyak 24 penerangan berbeza tentang syarikat mereka dengan identiti yang sering berubah-ubah.

Sumber: Kompas TV, ZD Net