
17 Jemaah Positif Omicron Tidak Divaksinasi
Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam kenyataannya semalam mendedahkan bahawa kementeriannya mengesan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) apabila 17 orang daripada 122 kes Omicron membabitkan jemaah umrah tidak menerima suntikan vaksin.
Kenyataannya dikuatkan juga oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurut Khairy, wujud isu ketidakpatuhan prosedur operasi standard kerana hanya mereka yang divaksin saja sepatutnya dibenarkan melakukan perjalanan. Pihaknya akan berbincang dengan kementerian terlibat supaya agensi pelancongan dapat patuh dengan syarat yang telah diletakkan.
Mereka juga sedang menyiasat sama ada para jemaah yang tidak menerima vaksinasi ini adalah disebabkan oleh faktor kesihatan atau memang enggan divaksinasi.
Berdasarkan data yang dikongsikan daripada 122 dijangkiti Omicron itu 26 menerima vaksin AstraZeneca, Moderna (satu), Pfizer (57), Sinovac (enam), selain penerima dos penggalak Pfizer (enam) dan Sinovac (lapan), manakala 17 tidak divaksinasi.
Khairy juga menjelaskan, kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi dan konsulat di negara tersebut untuk memperketatkan SOP sedia ada.
Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) akan berbincang dengan agen-agen pelancongan untuk cari kaedah bagaimana dapat menjadualkan semula umrah. Manakala, Kementerian Pengangkutan pula akan berbincang penjadualan semula penerbangan yang tertangguh disebabkan keputusan penangguhan ini.
BACA: Risiko Varian Omicron, KKM Tak Tolak Kemungkinan Jadikan Dos Penggalak Sebagai Pelengkap Vaksinasi
Sumber: Astro Awani