
15 Pelancong Malaysia Terkandas Gara-Gara Filipina Tidak Terima Sijil Vaksin MySejahtera
Ketika ini, kerajaan menyatakan bahawa rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara perlu mendapatkan sijil vaksinasi yang disahkan dan diiktiraf menerusi aplikasi MySejahtera, sekali gus menjadi ‘pasport’ untuk mereka bergerak.
Walau bagaimanapun, kejadian baru-baru ini yang mana seramai 15 pelancong Malaysia tidak dibenarkan masuk ke Filipina gara-gara sijil vaksin di sini.
Menurut The Star, salah seorang pelancong yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Manila memberitahu dimaklumkan oleh pihak Imigresen Filipina bahawa sijil vaksin digital dalam aplikasi MySejahtera tidak diterima sebagai bukti vaksinasi.
Bahkan, mereka yang tiba menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad turut dirampas pasport dan dimaklumkan akan dihantar pulang pada Selasa ini.
“Pasport kami telah dirampas dan kami diberitahu akan dihantar pulang. Memandangkan tiada hotel tersedia, kami terpaksa tidur di atas bangku atau lantai,” katanya.

Difahamkan, penumpang yang berada dalam penerbangan dari KLIA tetapi menerima vaksin di Singapura atau United Kingdom dibenarkan akses ke negara itu.
Bukan itu sahaja, pihak imigresen Filipina memberitahu mereka perlu divaksin di negara lain seperti Singapura atau memiliki Sijil Vaksinasi Antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Susulan kes tersebut, Kedutaan Malaysia di Filipina telah menghantar rayuan untuk timbal balik vaksinasi pada Khamis lalu namun tiada maklumat terkini daripada Agensi Hal Ehwal Luar Filipina.
Dalam pada itu, Imigresen Filipina meminta Kedutaan Malaysia perlu menunggu sehingga pagi Isnin untuk berhubung dengan Kementerian Luar Negeri bagi mendapatkan kelulusan.
Januari lalu, Malaysia dikejutkan dengan berita sindiket penjualan sijil vaksinasi palsu yang dikeluarkan oleh doktor yang tidak berintegriti.
BACA: Sijil Vaksinasi Palsu Dijual Lebih Daripada Gaji Minimum Malaysia
Sumber: The Star