PerantiSiswa

14 Kes Penjualan PerantiSiswa Dikesan, Keupayaan ‘Tracking’ Mampu Sekat Salah Guna

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, sebanyak 14 kes berkaitan penjualan PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang diberikan secara percuma kepada mahasiswa oleh kerajaan telah dikesan di seluruh negara.

Walau bagaimanapun, pemantauan kini sedang dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurutnya lagi, peranti tersebut juga mempunyai beberapa aplikasi tertentu yang mampu mengesan lokasi di mana ia berada, sama ada di universiti atau lokasi lain.

“Peranti ini ada keupayaan untuk buat ‘tracking’ siapa pemilik yang telah jual dan ada beberapa peranti telah disekat penggunaannya.

“Ada tindakan tertentu akan diambil terhadap penjual peranti, contohnya paparkan nama secara terbuka untuk pengetahuan umum di portal PerantiSiswa atau maklumkan kepada pihak universiti,” jelasnya.

Sebanyak 474,311 permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia telah diterima setakat 18 Oktober lalu, membabitkan 95,882 permohonan bagi fasa pertama dan 378,429 permohonan untuk fasa kedua.

“Saya telah letakkan sasaran untuk agihkan PerantiSiswa yang diluluskan sebelum 31 November ini. Pengedaran tetap disegerakan dan akan terus berjalan kerana kes-kes penjualan peranti ini adalah kecil,” tegas beliau.

Tan Sri Annuar Musa yang turut kesal dengan tindakan segelintir pihak yang menjual semula peranti itu berpendapat ianya seolah-olah seperti telah melanggar “akujanji” untuk menggunakannya bagi kegunaan sendiri, seperti yang ditandatangani penerima gajet terbabit.

Sebelum ini, tular di media sosial tindakan seorang pelajar dipercayai cuba menjual Samsung Tab A8 yang diberikan secara percuma oleh kerajaan pada harga RM900.

“Perbuatan ini diharap dapat dihentikan segera… saya zahir rasa terkilan dan dukacita, kerana penerima PerantiSiswa menjualnya secara terbuka secara dalam talian…saya fikir ia tindakan tidak wajar.

“Mereka yang tidak mahu guna, mungkin ada kaedah ‘buy back’ sesuai selepas setahun…saya akan minta kaji kaedah berbanding jual peranti itu dengan harga murah…ia tindakan tidak baik,” tambahnya lagi.

PerantiSiswa

BACA: Tak Sampai Sebulan Pakai Untuk PDPR, Telefon Pintar Subsidi Terbakar

Sumber: FMT