
100 Peniaga Sekitar Bandar Meru Raya Terjejas Gara-Gara Makcik Gelang Merah Jambu
100 Peniaga Sekitar Bandar Meru Raya Terjejas Gara-Gara Makcik Gelang Merah Jambu
Minggu ini sahaja kecoh dengan golongan baru pulang dari luar negara yang sepatutnya wajib menjalani kuarantin di rumah tetapi terlihat kelibat mereka begitu senang-lenang berada di tempat awam.
Kita dimaklumkan bahawa individu tular yang digelar ‘Makcik gelang merah jambu’ disahkan positif COVID-19 dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Tindakan wanita berkenaan telah mengundang pelbagai reaksi netizen di media sosial kerana mampu mengundang pertambahan kes baharu jangkitan COVID-19.
Malah, selepas penularan foto wanita tersebut telah mengakibatkan kira-kira 100 peniaga di sekitar Bandar Meru Raya terjejas apabila jumlah pelanggan ke premis mereka semakin berkurangan.
Memetik sumber Sinar Harian, paling malang sekali adalah kedai yang ditularkan kerana tidak lagi dikunjungi oleh orang ramai seperti sebelum ini.
Menurut Timbalan Pengerusi Kelab Usahawan Bandar Meru Raya, Nizam Baharudin berkata jumlah pengunjung ke bandar itu juga dilihat semakin menyusut dipercayai akibat kebimbangan orang ramai dengan berita mengenai kehadiran ‘Makcik gelang merah jambu’ itu.
Kata salah seorang peniaga yang terjejas di sana, ramai pihak khususnya netizen menyalahkan pemilik premis kedai makan sedangkan mereka sudah pun mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Untuk kami periksa teliti sehingga nak selak lengan baju dan sebagainya memang tak ada dalam SOP. Malah lepas gambar itu tular baru orang tahu gelang merah jambu itu pesakit yang sedang dikuarantin,” katanya.
Mengulas lanjut, pemilik premis tidak harus dipersalahkan di atas sikap tidak bertanggungjawab individu tertentu yang enggan mematuhi arahan kuarantin ditetapkan.
Dalam pada itu, Kelab Usahawan Bandar Meru Raya belum bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas wanita tersebut kerana perbuatannya menjejaskan perniagaan di sana sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Kejadian berlaku pada 6 Julai lalu
Wanita tersebut yang berusia 72 tahun sebelum ini telah diarahkan untuk menjalani kuarantin 14 hari selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Julai lalu.
Namun pada 6 Julai, dia yang baru tiba dari Selangor telah keluar untuk makan di kafe tersebut yang terletak di Bandar Meru Raya. Namun foto tersebut hanya mula tular beberapa hari lalu.
Difahamkan, saringan pertama yang dijalankan mendapati wanita tersebut negatif, namun dipakaikan gelang tersebut serta diperintahkan menjalani kuarantin.
Wanita tersebut hanya disahkan positif selepas menjalani saringan kedua iaitu selepas 13 hari menjalani kuarantin dan kemudiannya terus dimasukkan ke hospital pada 17 Julai lalu.
Sumber: Sinar Harian
Trending now



