Diabetes

10 Fakta Mengenai Penyakit Diabetes Di Kalangan Kanak-Kanak Yang Ibu Bapa Perlu Tahu

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tahukah anda, Malaysia merupakan negara yang memiliki jumlah pesakit kencing manis atau diabetes yang tertinggi di dunia.

BACA: Digelar Syurga Makanan, Malaysia Juarai Carta Penghidap Kencing Manis Paling Ramai Di Dunia

Kesedaran di kalangan masyarakat mengenai penyakit diabetes ini dilihat masih lagi kurang kerana setiap tahun jumlah penghidapnya masih lagi ramai.

Bersempena dengan sambutan Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada 14 November yang lalu, dikongsikan beberapa fakta penting mengenai penyakit diabetes yang sebenarnya turut kerap berlaku di kalangan kanak-kanak.

Perkongsian bermanfaat ini ditulis oleh seorang Pakar Pediatrik, Dr Rashdan Mohamed melalui hantaran yang dibuat di Facebooknya berikut untuk dijadikan panduan dan rujukan para ibu bapa di Malaysia.

Diabetes

Hari Diabetes Sedunia, 14 November

10 Fakta berkenaan diabetes dan kanak-kanak

Sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia yang disambut setiap 14 November

1) Type 1 Diabetes, T1DM (Kencing manis jenis 1) adalah yang paling biasa berlaku (most common) di kalangan kanak-kanak dan perlu suntikan insulin seumur hidup (setakat kajian semasa)

2) T1DM berlaku disebabkan fenomena auto-imuniti di samping faktor genetik dan persekitaran (seperti jangkitan kuman) yang membawa kepada kerosakan kelenjar pankreas dan seterusnya diabetes

3) Type 2 Diabetes, T2DM (Kencing manis jenis 2) berlaku akibat kerintangan insulin disebabkan oleh masalah OBESITI (kegemukan) di kalangan kanak-kanak

4) Trend (prevalence) T2DM meningkat selaras dengan peningkatan trend obesiti dan ini amat membimbangkan. T2DM dan obesiti boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat, pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal

5) Segelintir kanak-kanak menghidapi diabetes akibat masalah genetik (seperti Neonatal diabetes, MODY), komplikasi penyakit talasemia atau punca lain yang menyebabkan kegagalan kalenjar pankreas menghasilkan insulin

6) Tanda-tanda diabetes adalah seperti berikut (ingat Lima T):

Thirst = dahaga, kerap minum air
Toilet = kerap kencing termasuk kencing waktu malam
Tired = mudah letih
Thinner = susut / hilang berat badan mendadak
Test = periksa gula darah (bacaan gula darah puasa atas 7 mmol/L atau bacaan gula rawak / selepas makan atas 11.1 mmol/L = diabetes)

7) Kanak-kanak juga boleh dapat komplikasi DKA (diabetes ketoacidosis) yang mengancam nyawa, dengan tanda seperti muntah, sakit perut, sesak nafas dan keletihan (ketika pertama kali didiagnosa sebagai diabetes)

8) Komplikasi jangka masa panjang termasuk kerosakan organ seperti mata, buah pinggang (dialisis), jantung, otak, saraf dan salur darah, jika diabetes tidak dikawal dengan baik

9) Pandemik COVID-19 juga mencatatkan kenaikan kes T1DM dengan ramalan jangkitan COVID mencetus auto-imuniti membawa kepada T1DM (dalam kajian)

10) Pesakit diabetes perlu rawatan termasuk suntikan insulin (T1DM), ubat makan (T2DM, NDM), pemeriksaan gula, diet/nutrisi, hipoglisemia (gula rendah bawah 4 mmol/L), hiperglisemia, jika tidak sihat dan senaman, untuk memastikan kawalan diabetes optimum (termasuk HbA1C bawah 7.5%) dan tiada komplikasi

Foto,
Dr Charles Best dan Frederick Banting yang berjaya “menemui” rawatan insulin untuk T1DM, seratus tahun yang lepas, dan seterusnya merevolusikan rawatan T1DM. Sebelum itu, anak T1DM tiada rawatan dan hanya “menunggu masa mati”.

Sumber: Rashdan Mohamed