10 April Penentu PKP Disambung

10 April Penentu PKP Fasa Kedua Perlu Disambung Atau Sebaliknya

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kerajaan telah mengumumkan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini. Pelanjutan ini dikenali sebagai PKP fasa kedua yang mana kawalan pergerakan akan dilaksanakan mengikut tempoh masa dan sektor kritikal yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tempoh dua minggu PKP fasa kedua ini adalah waktu genting untuk menilai keberkesanannya, meskipun ada petanda awal yang baik, masih awal untuk membuat kesimpulan mengenai keberkesanan PKP.

Menurut beliau, keputusan sama ada PKP fasa kedua akan dilanjutkan atau sebaliknya, adalah bergantung kepada penilaian pencapaian yang akan dilakukan pada 10 April, iaitu empat hari sebelum PKP berakhir iaitu 14 April ini.

“Beberapa hari sebelum tamat PKP kedua ini kita akan lihat keberkesanannya, walaupun semalam saya mengatakan ada petanda awal menunjukkan prestasi baik tetapi jangkaan itu terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan,” katanya dalam sidang media khas Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, apa yang penting dalam tempoh dua minggu ini adalah untuk melandaikan graf. Beliau juga berkata, Malaysia kini mencapai 7.2 peratus bagi keseluruhan 43,406 ujian yang dilakukan setakat ini, di mana ia menghampiri tanda aras yang yang ditetapkan pertubuhan itu iaitu 10 peratus.

10 April Penentu PKP Disambung
Sumber: Bernama

“WHO telah keluarkan satu laporan dan laporan itu penting, sekiranya kita melaksanakan ujian dan banyak ujian kita positif, ini bermakna banyak kes belum dikesan dalam komuniti.

“Sekiranya tanda aras baru disasarkan WHO adalah setiap 10 ujian yang dilaksanakan, kalau kita ada satu kes positif (dalam 10 ujian) bererti mencapai tanda aras 10 peratus.

“Bermakna kita termasuk dalam tanda aras WHO yang laksanakan ujian mencukupi untuk komuniti tersebut,” ujarnya.

Sehingga Khamis (2 April), jumlah kes kumulatif positif COVID-19 ialah 3,116 orang dengan tambahan 208 kes baharu. Daripada jumlah tersebut, 50 kematian direkodkan.

Sementara itu, kadar kematian di Malaysia masih rendah iaitu 1.6 peratus jika dibandingkan dengan negara lain.

Sumber: HM, Mstar